Friday, December 6, 2013

KEMATIAN YANG DICEMBURUI

Bismillahirrahmanirrahim,
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Rabb Yang Pemilik Nyawa setiap insan.


"Segala puji dan syukur kepadaMu Ya Allah, Engkau telah memberi kesejahteraan kepada jasadku, ketika aku bangun tidur, syukur ya Allah, Engkau kembalikan rohku kepadaku, dan engkau pilih aku untuk mengingatiMu, seawal aku bangun daripada tidur. "

Inteam-Kepastian

Setelah sekian lama tinta ini terhenti, Alhamdulillah, di pagi yang indah dan barokah ini, Allah swt mengurniakan kepadaku sebuah nafas dan sedikit kelapangan waktu untuk daku duduk sebentar mencoret sedikit tinta sebagai iktibar bagi insan-insan yang masih lagi diberi nikmat kehidupan. Semoga Allah mengampuni segala dosa penulis ini, menerima amalnya, sesungguhnya tiada yang lebih kita hajatkan di dalam kehidupan ini melainkan keredhaan Allah. Acapkali kita tersasar haluan dek lemahnya insan bernama manusia. Mengharapkan taufiq dan hidayah Allah, dan janganlah diriku, keluargaku, masyarakatku dibiarkan sesat serta mengakhiri kehidupan ini dengan su’ul khotimah (seburuk-buruk kematian), wanauzubillahimin zalik.



“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”

Tanggal 29 Zulhijjah 1434 H bersamaan 2 November 2013 yang lalu, dunia dikejutkan dengan pemergian seorang pemuda bernama Ahmad Ammar Ahmad Azam di dalam sebuah kemalangan pada  jam 1.30 petang akibat dilanggar ambulan ketika melintas jalan di Istanbul, Turki . Beliau kembali ke rahmatullah pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara. Subhanallah, pada usia yang sangat muda, Allah menyayanginya, lalu mengambilnya kembali ke sisiNya.


Pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi. Malah catatan terakhirnya dan di masukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi:


“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”


Subhanallah, sebuah kematian yang begitu dicemburui dan dihajati oleh semua insan yang mengharapkan keredhaan Allah, maka pada hari ini, Allahyarham adik Ahmad Ammar insan terpilih untuk gugur sebagai syahid dalam perjalanan ke majlis ilmu, taman-taman syurga. Alhamdulillah, moga Allah menerima kesyahidannya dan segala amal solehnya ketika hidup.

Ahmad Ammar Dalam kenangan- Wajib Tonton para pemuda.

Allahyarham dikenali dan terkenal setelah kematiannya dan beliau menjadi inspirasi buat para pemuda khususnya dan seluruh dunia umumnya untuk turut menjejakkan langkah beliau yang punya misi & visi yang jelas dalam hidupnya untuk sebuah perjuangan : “Hidup Mulia dan Mati Syahid” . Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.


Berita kematian itu silih berganti, pada tanggal 1 Muharram 1435 H bersamaan 3 November 2013 yang lalu, saya dikejutkan pula dengan kematian Allahyarham pakcik Abdul Latiff, merupakah ayahanda seorang pelajar saya ketika di SMK Bukit Gambir, Nur Shahira Syazwani yang merupakan seorang pelajar solehah dan sentiasa mencari kebaikan di dalam hidupnya.

" Ayah hantar adik ke program supaya jadi saham akhirat buat ayah"

Benar saya tidak pernah sangkakan, pertemuan yang begitu sebentar itu, Allah hubungkan, sehingga tertaut hati-hati kami menjadi sebuah keluarga. Pakcik Abdul Latiff merupakan seorang ayah dan suami yang begitu penyayang, berdedikasi, dan soleh.


Masih saya ingati, semasa menjadi pengiring Shahira ke program Teenace 28 Jun 2013 yang lalu, itulah kali pertama saya berkenalan dengan keluarganya. Ayah dan ibunya mengambil saya di rumah sewa dan menghantar kami ke stesen bas Sungai Nibong. Semasa menyalami keluarganya, saya melihat sebuah kasih sayang yang begitu luar biasa antara ayah, ibu dan anak-anak. Subhanallah, sebuah keluarga yang begitu menyayangi satu sama lain. Allahuakbar. Melihat air mata Shahira, saya sangat terharu dan berterima kasih kepada ayah dan ibunya kerana mempercayai saya sebagai pengiring beramanah menjaga anaknya di saat ibu bapa yang lain takut memberi kepercayaan kepada orang yang baru sahaja dikenali untuk menjaga anaknya. Semua ini mendidik diri saya, betapa ibu bapa memainkan peranan besar membangunkan nilai Aqidah dan Akhlak Islamiyah ke dalam diri anak-anaknya. Maka, saya melihat betapa pakcik Abdul Latiff memainkan peranan sebagai ayah yang soleh dan menjalankan sistem Islam dalam pendidikan anak-anaknya. 


Semasa mengambil kami pulang, pada jam 4 pagi, pada kebiasaannya, saya sampai ke stesen awal pagi, saya akan terus pulang dan melelapkan mata, tetapi pakcik membawa ibu, shahira dan saya pergi makan dahulu di restoran Subaidah. Saya merasa terhibur dan gembira dapat meluangkan masa bersama mereka. Saya masih ingat, semasa di dalam kereta, pakcik membuka sebuah lantunan selawat :


Sehingga hari ini, sekiranya saya mendengar lagu selawat ini, hati menjadi begitu sebak, sentiasa segar di hati sanubari, detik-detik bersama Nur Shahira Syazwani sekeluarga. (betul ya eja nama)


Dipendekkan cerita, pada Julai yang lalu (awal ramadhan) jika tidak silap saya, Allah mentakdirkan pakcik Abdul Latiff dipercayai menghidap penyakit Kanser tahap 4. Masya Allah, sesungguhnya Allah melakukan apa yang Dia kehendaki.


Saya melihat satu persatu perkembangan berita mengenai penyakit pakcik. Namun, sesuatu yang sangat saya kagumi adalah pakcik tidak memperlihatkan kesakitannya di hadapan orang, wajahnya tenang, dan masih menjalankan aktiviti-aktiviti masjid. Masih lagi membenarkan shahira bersama saya pergi ke program Iftar & Qiyamullail Ramadhan di Maahad Islamiyah Al-Muhammadiyah.


Seminggu sebelum pemergian pakcik, saya sempat menziarahinya di ICU, namun, Allah takdirkan saya tidak dapat melihatnya kerana beliau sedang dirawat, serta saya perlu bergerak ke Ipoh bersama sahabat-sahabat.



Pada tanggal 1 Muharam 1435 H, Allah swt yang Maha Penyayang telah mengambil pakcik pulang ke sisiNya. Namun, saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk mengenali dan berbicara dengan pakcik yang soleh. Saya bersyukur kerana Allah swt telah memberi tempoh beberapa bulan untuk keluarganya membuat persediaan hati, emosi dan jasadi untuk menerima pemergian pakcik. Secara hikmah yang dapat saya fikirkan di sini, bukan mudah untuk kita menerima pemergian orang yang kita sayangi, tambahan keluarga Shahira yang erat kasih sayangnya. Maka, Allah memberi tempoh, subhanallah, tempoh. Allahuakbar. Semasa berkunjung dan mendengar detik-detik kematian pakcik dan pengebumiannya, Allahuakbar, air mata mengalir kerana saya merasakan, begitu Allah menyayangi insan soleh ini. Allahyarham dimandikan oleh kedua-dua anak perempuannya.

" Sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang Dia ambil, dan kepunyaanNya apa yang Dia berikan dan segala sesuatu pada sisiNya sampai waktu yang ditentukan. Hendaklah kamu bersabar dan mengharapkan ganjaran"

(Hadith riwayat Bukhari dari hadith Usamah)

Kata Shahira:


“ Ayah, kata ayah hantar saya pergi program sebagai saham akhirat buat ayah.
 Ayah dan ibu pernah cakap, cikgu kakak kedua saya” (maaf ayat edit sikit na)

Kata saya:


“Okay then, Shahira kena jadi anak alimah solehah dan tunaikan impian ayah, walaupun ayah tidak bersama kita lagi, teruskan menjadi saham akhirat buat ayah dan ibu, boleh buli dah adik sorang ni.” Hee…



“Jika pada hari ini kita hidup untuk diri kita sendiri, nescaya jalan yang kita lalui amat sempit dan singkat sekali. Namun jika hari ini kita hidup untuk orang lain demi sebuah aqidah dan perjuangan (Islam), maka jalan yang bakal kita lalui luas terbentang dan jauh untuk kita lalui….”

::As-Syahid Imam Hassan Al-Banna::
(copy paste dari blog allahyarham)

Tanggal 4 Safar 1435 bersamaan  5 Disember 2013, saya menerima pula berita kematian seorang Mantan MPPUSM, Timbalan bendahari PMIUSM,  Mohamad Iswandi Ishak, merupakan Graduan USM, berkonvo pada September 2013,  dan dipanggil pulang menghadap Illahi pada ulangtahun kelahirannya yang ke 23 tahun (sama umur dengan saya). Subhanallah, benar-benar kematian itu satu peringatan. Beliau meninggal pada usianya yang masih muda, terlibat di dalam sebuah kemalangan semasa dalam perjalanan bekerja. Seorang pelajar aktif semasa di USM.


Walaupun saya tidak pernah mengenalinya, namun kematiannya benar-benar menggentarkan jiwa saya, menyebakkan qolbu, kerana saya merasakan kematian itu begitu hampir. Allahuakbar.


Apa yang bisa saya kongsikan dan harap di fahami dan dihayati oleh diri saya sendiri adalah. Setiap manusia itu akan menemui saat kematiannya. Namun, kitalah yang mencipta seni kematiannya sendiri. Seandainya praktis hidup kita berlandaskan Al-Quran dan Sunnah, maka, kita akan menemui Sebaik-Baik Kematian (Husnul Khotimah), namun, jika praktis kehidupan kita adalah sebaliknya, maka, ketahuihah bahawa kita akan menemui Su’ul Khotimah. Nauzunillahiminzalik. Marilah kembali ke Pangkuan Islam.


Firman Allah swt di dalam surah Ali Imran : 185 yang bermaksud :



“ Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”


Sedikit Catatan daripada Puan Nur Azlina, Ibu Ammar

Aku ingin menjadi “SEJARAWAN PERANTAU”…

Semasa membelek catatan-catatan tulisan tangan anakanda Ahmad Ammar di dalam buku-buku notanya yang saya & ayahandanya bawa pulang tempohari, terjumpa catatan tentang visi & misi beliau:

“1) Akan menziarah serta mengkaji ketamadunan & kekayaan Sejarah Bangsa, Negara Turki & kerajaan-kerajaan yang pernah diasaskan oleh mereka.”…ingin menjadi SEJARAWAN PERANTAU.

2) Meskipun tumpuan 100% kpd penguasaan akademik, tumpuan kpd ilmu rohani & agama tidak boleh diabaikan. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan ketenangan jiwa, hubungan dengan Sang Pencipta dikekalkan, Risalah An-Nur tulisan Ustaz Badiuzzaman Said Nursi adalah penawar terbaik untuk semua ini.

Maka, jika aku berjaya memahami dan menguasai kitab RISALAH AN-NUR, aku akan cuba menyebarkannya ke setiap negara yg akan aku pergi di samping melakukan kajian sejarah.”


Ya, sesungguhnya untuk mencapai kedua-dua matlamat ini, aku sudah tiada masa utk berlengah-lengah & berehat, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dengan mengaplikasikan gerak-kerja harian aku kepada tindakan tanpa gagal.”

   
*Mari ambil iktibar dan bertindak....Subhanallah, masa begitu mencemburui saya. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak menyentap qolbu kita untuk memanfaatkan masa yang masih dianugerahkan Allah ini untuk melaksanakan "Amar Maaruf, Nahi Mungkar". Semoga segala yang baik dapat dijadikan iktibar, dan segala yang tidak baik, saya mohon keampunan daripada Allah swt dan harap ditinggalkan di sini sahaja. Andai masa saya sudah tiba, dan kematian menjemput, saya mohon dihalalkan segala-galanya, dimaafkan segala salah dan silap dan jika ada hak yang tidak dipenuhi. Jika ada hutang, mohon dituntut. Doakan saya. ^_^. 

"Hidup hanya ada 2 pilihan, untuk mengukir sejarah ataupun bernafas sahaja"- Ustaz Syarihan Shahidan.


*coffee pun dah sejuk.
*persiapan lawatan sambil belajar bersama pelajar SMK Kedawang. Selamat membuat persiapan rohani, jasadi dan emosi. 

9.37 am
6 Safar 1435 H bersamaan 7 Disember 2013
Pulau Langkawi, Kedah.


No comments:

Post a Comment