Sunday, March 9, 2014

Nikmat Yang Mendebarkan- Mohon Doakan-


Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

Saya mulakan coretan di petang yang hening ini dengan nama Allah, Yang Maha Memberi Rezeki. Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, kerana dengan limpahan rahmat serta keizinan dariNya, saya masih lagi diberi peluang untuk bernafas dan menghirup udara segar di pagi hari, bekerja dan menabur bakti kepada masyarakat, melayani keluarga, dalam masa yang sama, saya masih lagi berpeluang untuk memperbaharui taubat, memperbaiki diri dalam usaha menjadi hamba Allah yang diredhai dan dirahmati olehNya mengikut panduan yang diberi melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Hidup adalah peluang. Peluang untuk menjadi hamba Allah yang baik dalam segenap urusan.



Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Di saat pelbagai berita kemalangan dan kematian yang kita terima setiap hari, sungguh benarlah, musibah atau kematian itu satu peringatan kepada kita bahawa, giliran kita juga akan tiba pada suatu hari nanti, bila dan bagaimana, hanya Allah Yang Maha Tahu. Namun, jauh di sudut hati kita, ingin sekali diambil nyawa olehNya dalam keadaan Husnul Khotimah iaitu sebaik-baik kematian. Oleh yang demikian, kita sedaya upaya dengan penuh kelemahan memohon kepada Allah, supaya selalu diberi taufiq dan hidayah dalam menjalani hari-hari dalam hidup ini, dalam keadaan diredhai olehNya. Sememangnya perkara itu tidak mudah, kerana jiwa kita selalu ditarik oleh unsur-unsur negatif yang boleh membawa kita kepada dosa dan kemaksiatan. Di saat itu, kita begitu lemah, dan kita memohon kepada Allah dengan penuh curahan air mata, tunjukkanlah kita jalan yang benar, cenderungkanlah jiwa kita kepada perkara yang benar. Semoga kita terus diberi kekuatan untuk berusaha menjadi hamba Allah yang benar, yang patuh dan taat kepada perintahNya, dan meninggalkan laranganNya. Allahumma amin.



"Ya Allah, nikmat apa sahaja yang daku kecapi dan perolehi daripada para hambaMu pada waktu pagi/petang hari ini, semuanya adalah daripadaMu jua; Yang Maha Esa dan tidak mempunyai sekutu. BagiMu segala puji & syukur"



Alhamdulillah, dengan keizinan Allah swt, Rabb Yang Maha Memberi Rezeki, di awal bulan Mac ini, saya menerima beberapa berita yang Alhamdulillah menggembirakan dan mendebarkan. Pertamanya, Alhamdulillah, dengan izin Allah, kontrak saya telah disambungkan dengan subjek Matematik bagi Tingkatan 2, 4 dan 5, bermula daripada 2 Mac 2014 sehingga, in sha Allah, Jun 2014 sekiranya saya belum dipostingkan sebagai guru tetap. Keduanya, Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya juga telah dipanggil untuk ditemuduga bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41.



Maka, kedua-dua berita gembira ini juga merupakan satu debaran buat saya untuk mengharungi cabarannya. Pertamanya, sebagai guru Matematik bagi subjek tingkatan 2,4 dan 5, saya perlu lebih berusaha untuk belajar semula subjek tersebut kerana sudah lama ditinggalkan, terutamanya kelas-kelas peperiksaan. Berbanding subjek sebelum ini iaitu Sejarah dan PJK, ia tidaklah begitu mencabar bagi saya, kerana semuanya berbentuk fakta dan ada di dalam buku teks. Dalam masa yang sama, saya perlu menumpukan persediaan untuk peperiksaan awal tahun, menyediakan soalan, menghantar rezo, klip kertas beratus-ratus, menghantar ke unit peperiksaan dan sebagainya. Tanda kertas, waktu cutilah!.. Tugas saya di sekolah juga adalah sebagai Setiausaha Kurikulum, Guru Koperasi dan juga Guru Penasihat bagi ko-k Taekwando. Walau apapun, in sha Allah, Allah memberikan nikmat ini kepada saya, untuk saya ambil pengalaman dan mungkin sebagai persediaan untuk saya menjadi seorang guru tetap. Maknanya, bermula saya melangkah masuk ke sekolah sehingga ke waktu petang, adalah waktu-waktu yang genting untuk melakukan kesemua tugas tersebut. Namun, Alhamdulillah, berat saya tetap konsisten dan bertambah sedikit, walau sesibuk manapun, saya tetap menitikberatkan soal pemakanan dan waktu tidur. Perkara ini penting dalam untuk membina daya tahan semasa bekerja yang menggunakan fikiran, rohani, emosi dan jasmani terutamanya.  



Keduanya ialah, saya perlu menumpukan perhatian terhadap Temuduga Guru pada 19 Mac 2014 (8 hari dari sekarang). Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah. Pelbagai persediaan yang harus dilakukan dari segenap aspek, Jasmani, Rohani, Emosi, Intelektual dan Sosial. Pelbagai bahan bacaan perlu dibaca dan difahamkan untuk menghadapi sesi temuduga ini. Dokumen yang perlu difailkan, persediaan pakaian, blazer, name tag dan sebagainya.



Hasbunallah wani’mal wakeel, ni’mal maula, wani’man naseer
Sesungguhnya Allah lah sebaik Penolong dan sebaik-baik Pelindung.



Allah mengizinkan juga, baru-baru ini, di sekolah saya, SMK Kelibang, satu Pameran Kesihatan dan pemeriksaan telah dijalankan. Saya hanya cuba-cuba untuk memeriksa tahap kesihatan saya. Allah izin, tekanan darah saya adalah dibawah paras normal iaitu 90/60. Nampaknya, kemungkinan saya sendiri tidak perasan masih ada bahagian yang lupa untuk saya jagai. In sha Allah, saya diminta untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala di Klinik Kesihatan supaya boleh kembali normal. Walau apapun, Alhamdulillah, saya masih boleh melakukan kerja seperti biasa dan semoga semuanya akan dipermudahkan. Mungkin kesibukan dan debaran itu mempengaruhi keadaan kesihatan saya. Alhamdulillah, 2 minggu lagi cuti sekolah. J


Sahabat-sahabat sekalian,


Saya melihat, kelihatan sahabat-sahabat saya ketika ini sedang bertungkus lumus berusaha untuk mencari bahan bacaan dan sebagainya. Banyak sekali berkongsi maklumat agar tidak ada seorang pun yang terlepas daripada mendapat info-info penting dan terkini mengenai sesi temuduga itu. Malah, ada juga yang seperti tertekan. Walau apapun, saya sangat berterima kasih atas keperihatinan sahabat-sahabat PPIP dan juga Group ISMP yang memperjuangkan posting bagi guru-guru dengan bersungguh-sungguh, serta banyak sekali berkongsi. Allahuakbar! Hanya Allah sahaja yang bisa membalas segala budi baik kalian. Moga Allah permudahkan urusan kalian, kerana kalian memudahkan urusan orang lain.


Walau apapun sahabat-sahabat, saya menyeru kepada diri saya sendiri, dalam apapun kesibukan dan debaran yang melanda jiwa kita saat ini, janganlah sekali-kali kita melupakan tanggungjawab kita terhadap Pencipta kita. Dialah Pemberi Rezeki dan Dialah Pelembut Hati. Hati kita dalam genggamanNya, hati penemuduga tersebut juga dalam genggamanNya. Sama-sama kita melaksanakan ibadah dan tanggungjawab kita sebaik mungkin kepadaNya, in sha Allah, Allah selalu bersama orang-orang yang menyerah kepadaNya. Banyakkan bersama Allah di waktu-waktu mustajab. In sha Allah, Allah-lah sebaik-baik Penolong dan Pelindung.



Sahabat-sahabatku yang dirahmati Allah lagi disayangi Rasulullah saw,


Oleh yang demikian, pada kesempatan ini, saya ingin memohon keampunan kepada Allah swt, dan meminta kemaafan daripada kedua ibu bapa, adik beradik, para murabbi dan pendidik saya sedari kecil hingga dewasa, insan istimewa itu, para sahabat saya yang dirindui, para pelajar saya di SMK Bukit Gambir, SMK Convent Greenlane, SMK Kedawang dan SMK Kelibang,   dan sesiapa sahaja yang mungkin saya sakiti jiwanya tanpa sedar. Saya juga berterima kasih kepada anda semua kerana terlalu banyak memberi sokongan pelbagai segi sama ada doa dan motivasi, subhanallah sangat menyentuh hati dan menyentap jiwa dan menolak langkah menggugah potensi untuk berprestasi. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Pengetua dan Guru-guru SMK Kelibang, banyak memberi perkongsian pengalaman, meminjamkan buku dan bahan bacaan, dan sebagainya. Budi anda semua sentiasa dikenang, semoga Allah yang membalas segala budi baik kalian.



Setiap kali saya ingin memulakan langkah membuat persediaan untuk  menuju ke sesi temuduga, sentiasa terbayang di fikiran saya, wajah harapan setiap insan yang sangat mengharapkan saya menjadi seorang pendidik terutamanya ibu bapa saya, sahabat-sahabat saya, anak-anak didik saya, dan wajah umat di masa hadapan. Setiap kali terfikirkan insan-insan itu, setiap kali itulah saya akan terbangun dan bersemangat untuk membaca dan membuat persiapan di saat saya sudah lelah dengan kerja-kerja di sekolah. Saya sudah memilih medan ini, medan ini untuk menjadi saksi saya di akhirat nanti, maka saya harus menempuhnya sehingga ke titisan yang terakhir. Inilah satu-satunya peluang yang diberi oleh Allah untuk saya, maka saya harus melakukan yang terbaik dengan sepenuhnya bantuan Allah swt. Ini juga merupakan satu peperangan besar bagi saya. Inilah jalan saya. Moga-moga saya dapat menjadi pakar di dalam bidang pendidikan ini serta kepakaran saya digunakan sepenuhnya untuk memanfaatkan Umat Islam seluruhnya.



Lalu, saya mohon kepada semua, doakanlah saya, doakanlah agar halatuju saya terus jelas, agar saya bisa hidup sebagai pendidik yang benar-benar dalam membawa anak didiknya kepada perhambaan semata-mata kepada Yang Maha Pencipta di dalam setiap ilmu yang diajarnya. Doakanlah agar dengan kejelasan halatuju saya, Allah mempermudahkan urusan temuduga saya, posting saya di tempat yang terbaik untuk saya mendidik dan memanusiakan manusia. Allahumma amin. Sesungguhnya doa kalian amatlah bermakna bagi saya, kerana saya yakini, apa sahaja yang saya perolehi, bukan hanya doa daripada diri saya sendiri, tetapi juga insan-insan di sekeliling saya yang sentiasa mengingati saya dalam doanya.



Mungkin sekadar ini sahaja coretan daripada saya sebelum berlansungnya sesi temuduga. Harus merehatkan diri bagi menghadiri bengkel sehari di PPD esok. Doakanlah saya. J. Jazakumullahukhairan kathira. J


Penawarhati90
12.09 am
10 Mac 2014
Pulau Langkawi, Kedah






No comments:

Post a Comment